Abdul Rasheed Ghaffour

GEORGE TOWN – Ekonomi Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan, namun rakyat perlu memperkukuh literasi kewangan untuk menghadapi cabaran kos sara hidup serta perubahan dunia pekerjaan yang bergerak pantas.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kemahiran kewangan menjadi asas penting bagi membantu rakyat membuat keputusan berbelanja secara lebih bijak dan mengurus kehidupan dengan lebih teratur.

“Ekonomi Malaysia hari ini kekal stabil dan berdaya tahan. Namun, seperti negara-negara lain di dunia ini, kita juga berdepan dengan cabaran kos sara hidup, dunia pekerjaan yang berubah dan teknologi yang bergerak pantas daripada kemampuan kita untuk menyesuaikan diri.

“Dalam keadaan ini, literasi kewangan menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja; membuat keputusan kewangan yang bijak; dan membina daya tahan isi rumah,” katanya ketika berucap pada Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang 2025 di Queensbay Mall  di sini, hari ini.

Chow Kon Yeow (kiri) merasmikan Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang 2025 di Queensbay Mall, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hadir merasmikan program berkenaan.

Menurut Abdul Rasheed, berdasarkan keperluan semasa, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030.

“Matlamat kita bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Abdul Rasheed turut menarik perhatian terhadap budaya ‘painless payment’ yang mendorong pengguna berbelanja tanpa sedar.

“Kajian mendapati 31 peratus pengguna berbelanja secara impulsif ketika membeli dalam talian. Ini mungkin nampak kecil, tetapi jika berulang setiap bulan, ia boleh menjejaskan simpanan dan menyebabkan tekanan kewangan.

“Sebagai langkah awal, BNM bersama Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan melaksanakan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just-In-Time Financial Education, JITFE) khusus untuk pemohon pembiayaan peribadi bagi memastikan setiap pinjaman dimanfaatkan secara bijak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rasheed turut memberi peringatan tegas bahawa penipuan kewangan kini semakin berbahaya apabila penjenayah menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara dan wajah individu yang dikenali, sekali gus meningkatkan risiko rakyat menjadi mangsa.

Beliau berkata hampir sembilan daripada sepuluh rakyat Malaysia kini menggunakan perkhidmatan kewangan digital, namun wujud risiko ekoran peningkatan serangan scam yang semakin canggih.

“Ada yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara dan wajah orang yang kita kenal. Pesan kami ialah jangan kongsi maklumat peribadi, periksa sebelum klik dan fikir sebelum bayar,” katanya sambil menegaskan BNM dan agensi berkaitan terus memperkukuh keselamatan siber. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast