Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon diiring anggota Polis tiba bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan mengganggu tugas penjawat awam ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Polis berpuas hati tiada kesalahan dikesan (NOD) berkaitan insiden pertengkaran dan kekecohan di sebuah gerai makanan melibatkan Inspektor Sheila yang videonya tular, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pegawai berkenaan membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan seorang peniaga makanan di bawah pokok ketapang di sini.

“Kes itu diklasifikan sebagai NOD selepas semakan mendapati tiada elemen kesalahan dilakukan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial berdurasi 43 saat memaparkan berlaku pertengkaran antara wanita terbabit dengan seorang lelaki dipercayai pemilik gerai berkenaan.

Sementara itu, polis turut mengesahkan menerima dua laporan berlainan daripada Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar berkaitan insiden melibatkan dirinya.

Ujar Fadil, laporan pertama yang dibuat wanita itu ialah berhubung ketidakpuasan hati terhadap tangkapan dijalankan terhadapnya berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan mengikut prosedur siasatan,” katanya.

Beliau berkata, laporan kedua pula dikemukakan kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan.

“Hasil penelitian, kes itu diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) sebelum dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Sheila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di hadapan sebuah restoran, minggu lalu.

Inspektor Sheila digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes lampau termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast