Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas cedera parah manakala dua individu lagi mengalami cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tiga kereta berhampiran susur Saujana Utama, Sungai Buloh, dekat sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu pada pukul 8.20 pagi.

“Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 10 kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, jentera pertama tiba di lokasi pukul 8.30 pagi mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia, Perodua Bezza dan sebuah Volkswagen.

“Kita mendapati pemandu kereta Perodua Axia iaitu lelaki berusia 61 tahun tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan parah.

“Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast