KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 30 tahun maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok kelapa sawit di Jalan Sekolah Sungai Bawang, Balingian, Sarawak semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Supritendan Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian berlaku sekitar 2.45 petang itu, mangsa memandu Perodua Bezza seorang diri dari arah Sekolah Sungai Bawang menuju ke Sibu dan dipercayai hilang kawalan.
Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki dan dibawa oleh suaminya ke Klinik Kesihatan Selangau untuk rawatan.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang oleh pegawai perubatan.
Menurutnya, sebuah kenderaan pikap turut terlibat dalam kemalangan kendiri di lokasi sama namun maklumat lanjut berhubung insiden kedua masih dalam siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat Jaalimin di talian 011-316 27137 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















