KUALA LUMPUR – Akademi KL Rovers (KLRA) menetapkan sasaran tinggi untuk menjuarai Malaysia Youth League (MYL) 2025 apabila tiga skuadnya iatu U16, U14 dan U10 bakal beraksi pada peringkat kebangsaan di Pasir Gudang, Johor dari 20 hingga 23 November ini.

KLRA menghantar 56 pemain bersama barisan jurulatih dengan rekod cemerlang musim lalu menjadi sandaran utama termasuk penguasaan penuh saingan peringkat Kuala Lumpur.
Terdahulu, pasukan U16 mencatatkan kejuaraan empat musim berturut-turut pada 2024 dan 2025 manakala skuad U14 meraih gelaran juara dua kali pada musim sama.

Kedua-duanya mengekalkan rekod tanpa kalah sebagai pemacu keyakinan untuk memburu gelaran kebangsaan.
Pemilik KLRA, Aznor Dzulkarnain Aziz berkata, misi itu adalah penghargaan kepada penyokong, ibu bapa serta warga akademi.

“Kami ingin membawa pulang kejuaraan MYL 2025 sebagai tanda terima kasih kepada semua yang tidak jemu menyokong kami,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja seperti Pari Pari, Marche All Star, Manate, Data Sukan, Quotro serta beberapa individu korporat dan dua platform media digital yang menyokong pembangunan bola sepak akar umbi.
Saingan MYL peringkat kebangsaan dijadual bermula Jumaat ini di padang Majlis Perbandaran Pasir Gudang. – MalaysiaGazette















