Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

KLANG – Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Klang mengesan kes potongan gaji tidak sah dan operasi tanpa lesen dalam satu operasi penguatkuasaan mengejut terhadap vendor pembekal pekerja sebuah syarikat kurier di Pulau Indah.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, agensi pekerjaan itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Klang kerana beroperasi tanpa lesen manakala agensi lain diarahkan menghentikan operasi kerana lesen tamat tempoh dan gagal melaporkan pindah premis.

Operasi yang dijalankan susulan aduan kebajikan pekerja yang mendedahkan sembilan vendor melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang.

Antaranya, Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Abdul Rahman juga menegaskan pendirian tegas kementerian terhadap perlindungan hak pekerja.

“Tiada ruang kompromi terhadap eksploitasi, penyalahgunaan kuasa atau ketidakpatuhan undang-undang buruh oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk kegagalan menyediakan kontrak perkhidmatan dan penyata gaji serta tiada perakuan penginapan pekerja.

PTK Klang turut memaklumkan beberapa kertas siasatan masih dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Penasihat Undang-undang Jabatan untuk mendapatkan izin pendakwaan.

Abdul Rahman menambah, operasi sebegini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua majikan patuh kepada undang-undang.

“Setiap pekerja berhak mendapat perlindungan sewajarnya, dan kami akan memastikan undang-undang ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast