KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh integriti dan membanteras rasuah di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 24 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya disempurnakan setakat 18 November 2025.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 13 ketua agensi peneraju termasuk SPRM berjaya melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab masing-masing, dengan lima substrategi siap pada 2024 dan baki 19 diselesaikan sehingga November 2025.
Beliau berkata, kejayaan ini merupakan manifestasi komitmen, kecekapan dan dedikasi tinggi Ketua Agensi Peneraju dalam melaksanakan peranan masing-masing ke arah memastikan matlamat NACS tercapai.
“Saya menyeru agar ketua agensi peneraju yang telah berjaya menyempurnakan substrategi masing-masing agar mempergiatkan usaha promosi dan publisiti terhadap pencapaian tersebut, selaras dengan kesesuaian serta kemampuan peruntukan masing-masing.
“Usaha ini amat penting kerana ia bukan sahaja mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan dalam memperkukuh tatakelola dan pembanterasan rasuah secara konsisten, tetapi juga membantu membentuk persepsi positif masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa terhadap kesungguhan Malaysia melaksanakan agenda integriti dan antirasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi (NACS) Siri 3 Bil. 2 Tahun 2025 di Dewan Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Azam berkata, pelaksanaan NACS juga diiktiraf sebagai faktor penting yang membantu peningkatan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), selain disokong melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam mesyuarat tersebut, beliau turut dimaklumkan sembilan substrategi jangka masa pendek masih belum diselesaikan dan perlu disempurnakan sebelum 31 Disember 2025.
Empat agensi terbabit telah memohon pelanjutan masa dan akan dibentangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Disember ini, manakala lima substrategi lain diminta untuk disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
SPRM melalui Sekretariat NACS turut menegaskan kesediaan membantu agensi peneraju yang menghadapi cabaran dalam pelaksanaan substrategi terlibat.
“Kejayaan NACS bergantung kepada komitmen kolektif semua pihak. Saya berharap mesyuarat hari ini menghasilkan langkah susulan lebih tuntas dan berimpak tinggi ke arah memperkukuh tatakelola, integriti dan kebertanggungjawaban nasional.
“Bagi memastikan ketelusan dan kawal selia berkesan, pemantauan pelaksanaan substrategi dibuat melalui dua dashboard digital iaitu r-NACS dan d-NACS yang beroperasi menggunakan pelayan SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette















