JOHOR BAHRU – Kehadiran pasangan panda gergasi Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) dari China bukan sekadar tarikan tetapi melambangkan hubungan diplomatik erat Malaysia dengan China.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, ini kerana panda merupakan khazanah paling berharga bagi negara tersebut.
“Sebagai salah satu kuasa ekonomi terbesar dunia, adalah penting untuk Malaysia mengekalkan hubungan yang kukuh dengan China demi kebaikan negara.
“Tahniah dan syabas! Terima kasih kepada YB Jimmy Puah kerana membawa perkara ini ke Parlimen dan Kerajaan Madani merealisasikan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasangan panda gergasi itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam tadi.
Pasangan tersebut akan ditempatkan di Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara yang baru dinaik taraf sepenuhnya dan bakal menjadi tumpuan.
Chen Xing dan Xiao Yue akan menjalani tempoh kuarantin wajib selama sebulan di bawah pengawasan rapi pasukan doktor haiwan dan penjaga berpengalaman sebelum ditunjukkan kepada orang ramai.- MalaysiaGazette
















