Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menangani isu penggunaan bekalan elektrik secara curang bagi aktiviti perlombongan bitcoin.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jawatankuasa itu membincangkan perkara meliputi aspek dasar, perundangan dan isu lain membabitkan rentas kementerian dan agensi berkaitan kecurian elektrik.

Menurut beliau, ia dianggotai oleh wakil antaranya daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri, Bank Negara  dan Polis Diraja Malaysia.

“Jawatankuasa ini turut berperanan memudah cara perkara yang memerlukan intervensi di peringkat dasar mahu pun polisi bagi mengekang aktiviti kecurian bekalan elektrik.

“Daripada kita hanya tengok dari sudut pengkuatkuasaan, jawatankuasa ini akan melihat secara holistik.

“Mesyuarat pertama akan dipengerusikan oleh saya pada hujung tahun ini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi PETRA.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM5.19 bilion bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast