Datuk Seri Salleh Said Keruak.

KOTA KINABALU – Sistem pentadbiran kerajaan tempatan perlu dibersihkan daripada cengkaman politik kepartian bagi menghentikan gejala ketirisan di Sabah.

Calon Barisan Nasional (BN) N10 Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, sudah tiba masanya institusi di peringkat akar umbi berfungsi untuk rakyat dan bukannya untuk parti yang berkuasa.

“Bukan semua tempat perlu politik, sudah tiba masanya kita menghentikan politik sepanjang masa terutamanya di peringkat pentadbiran tempatan.

“Saya ambil contoh jawatan ketua kampung. Adalah lebih baik, ia dipilih sendiri oleh orang kampung dan bukannya datang daripada pihak atasan.

“Orang kampung lebih tahu dan kenal siapa ketua yang perlu diangkat, ini antara perkara yang perlu diberi perhatian.

“Nampak kecil tapi impaknya sangat besar, “ katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program SKOP MG.

Beliau berkata, proses lantikan Ketua Kampung ini perlu dikembalikan kepada hak masyarakat setempat melalui proses pemilihan yang telus.

“Sistem lantikan politik sedia ada adalah punca utama kepada isu ketirisan dan kekurangan integriti.

“Apabila lantikan ketua kampung dibuat berdasarkan kroni atau reward politik, mereka cenderung untuk berkhidmat kepada parti, bukan kepada masyarakat.

“Ini membuka ruang kepada ketirisan dan melambatkan pembangunan sebenar,” katanya.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan ini juga berkata, perkara itu dapat dibuat dengan keterbukaan semua pihak.

“Ini bukan hanya bersandar emosi dan politik parti masing-masing.

“Untuk lebih telus, proses pemilihan haruslah dibuat secara langsung dan rakyat boleh melihatnya di mana ia akan dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya lagi.

Temubual bersama calon Barisan Nasional N.10 Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Program SkopMG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2025.

Sementara itu, Salleh turut berhasrat untuk terus merancakkan ekonomi Sabah menerusi beberapa perkara penting.

“Kalau ada pelabur, semua banyak perkara boleh dibuat. Pelabur akan lihat kepada kestabilan politik dan ia hanya boleh dilakukan oleh BN.

“Sudah terbukti kami mempunyai trek rekod yang baik dalam menstabilkan politik di negara ini.

“Saya suka kalau jika Sabah ini dapat diwujudkan pelabuhan boleh memberi kepada peluang ekonomi untuk warga tempatan.

“Sabah boleh majukan industri pelabuhan secara agresif sebagai hab serantau, dengan fokus utama mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk belia tempatan.

“Potensi pelabuhan kita sangat besar. Saya beriltizam untuk memastikan pembangunan infrastruktur pelabuhan yang lebih cekap dan moden, yang kemudiannya akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kita dan mereka tidak perlu merantau lagi,” katanya.

Salleh menegaskan, BN membawa visi reformasi struktur, bukan sekadar janji, untuk memastikan ekonomi negeri dibangunkan secara mampan dan telus, berlandaskan prinsip good governance (tadbir urus yang baik). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast