Mohd Fared ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2026 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Tiga buah sekolah agama baharu bakal dibina di Johor tahun depan yang melibatkan kos sebanyak RM52 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, pembinaan itu melibatkan Sekolah Agama UTM, Skudai; Sekolah Agama Al-Mizan, Kempas dan Sekolah Agama Datin Halimah, Skudai.

“Kerajaan negeri sedang memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek pembinaan tiga buah sekolah agama berkenaan di samping dua bangunan tambahan yang akan dibina di Sekolah Agama Taman Sri Saujana, Kota Tinggi Sekolah Agama Taman Pulai Indah, Kulai.

“Keseluruhan projek ini dianggarkan berjumlah RM52 juta, dengan pembiayaan 50 peratus daripada Kerajaan Negeri Johor dan 50 peratus daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Belanjawan Johor 2026 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, projek pembinaan dijangka bermula pada 2026 dan siap sepenuhnya menjelang 2028.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan JAINJ untuk memastikan pembangunan pendidikan agama Islam di negeri Johor dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan, keperluan semasa dan kemampuan kewangan,” katanya.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata, fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap kawasan terutamanya pertumbuhan pesat, mempunyai kemudahan pendidikan agama yang lengkap, selamat dan mampu menampung bilangan murid secara menyeluruh serta berkesan.

“Selain itu, Bahagian Pendidikan Islam, JAINJ sedang merangka Pelan Kemajuan Pendidikan Islam Negeri Johor bagi tempoh 10 tahun akan datang, merangkumi pelbagai aspek pembangunan pendidikan dari segi kemudahan infrastruktur, kapasiti murid, kualiti pengajaran, serta integrasi pendidikan agama dengan pendidikan umum,” ujarnya.

Pelan itu bertujuan memperkukuh sistem pendidikan Islam di seluruh negeri, memastikan pendidikan agama terus relevan, berkualiti dan mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berilmu serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Melalui perancangan strategik dan pelaksanaan projek-projek bersasar ini, kerajaan negeri menegaskan komitmennya untuk memperkasakan pendidikan Islam, memenuhi keperluan masyarakat serta memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan agama yang berkualiti di seluruh negeri,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast