KOTA KINABALU – Pengundi-pengundi Sabah yang bakal memilih pemimpin pada 29 November ini menaruh harapan tinggi agar keputusan pilihan raya negeri akan dapat membawa memberi perubahan secara total kepada rakyat.
Mereka mahu rakyat Sabah menikmati kemajuan terutama dari segi infrastruktur demi kesejahteraan, keselamatan dan kestabilan hidup.

Seorang pelajar, Emeyllia Sidin berkata, sebagai generasi muda, beliau sangat mengharapkan sebuah kerajaan yang dapat melaksanakan perubahan yang jauh lebih baik berbanding sekarang.
Dakwanya, rakyat di Sabah sebenarnya tidak merasai kemajuan kerana banyak kemudahan infrastruktur di negeri ini sangat kritikal.
“Baru-baru ini, perdana menteri cakap ada beri bantuan kepada Sabah, malangnya rakyat Sabah tak ada rasa apa-apa. Kemajuan pun sangat sikit.
“Banyak infrastruktur sangat-sangat kritikal. Sebagai contoh di Ranau, kemudahan asas pun tidak dapat dijaga dengan baik, jalan raya, kemudahan, hospital dan banyak lagi masih tidak ada perubahan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Seorang bakal pengundi kali pertama, Ervin Darryl berkata, sebagai penduduk Sabah, dia sangat mendambakan kerajaan yang boleh mengambil tindakan dan menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, dia mahu kerajaan yang boleh bertindak dan bukan hanya ‘menjual’ manifesto sahaja.
“Secara jujurnya, sebagai anak muda saya tak sabar nak mengundi dan berharap akan ada perubahan (di Sabah). Sejak penghijrahannya bersama keluarga dari Semenanjung ke Tenom kira-kira tujuh tahun lalu, tiada sebarang perubahan.
“Jalan raya di kawasan pedalaman Tenom tidak pernah diturap, berlubang dan banyak kemudahan asas tidak sampai. Sebab itu, saya mahu wakil rakyat yang boleh buat perubahan pada kami,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Rafmat @ Limat Yausin mengakui dia hatinya bercampur-campur hendak mengundi kerana keadaan Sabah masih sama sahaja.
“Sebab siapa yang menang pun tidak bawa kemajuan. Di Sabah ini isu jalan raya pun tak dapat selesai. Setiap kali pilihan raya mereka akan cakap perkara sama,
“Harap-harapnya pilihan raya kali ini adalah perubahan sekurang-kurangnya kemudahan asas diperbaiki,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















