KUALA LUMPUR – Tiga anggota Pasukan Polis Marin berdepan detik cemas selepas bot yang dinaiki terbalik ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dihanyutkan kepala air semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian mencemaskan itu berlaku akibat arus deras di kawasan Sungai Klang dekat Kampung Tengah, Puchong, Selangor.
Beliau juga mengakui faktor geografi serta arus yang deras di Sungai Klang menjadi faktor utama menyukarkan pencarian mangsa sepanjang operasi dilaksanakan selama lima hari.
“Sepanjang tempoh pencarian ini, kita menghadapi kesukaran dari sudut geografi, kedudukan sungai yang agak luas, arus deras ditambah tebing sungai yang penuh dengan rumput panjang.
“Walaupun nampak Sungai Klang ini tenang tapi sebenarnya di bawah itu arusnya agak deras,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Mengulas mengenai keadaan anggota sepanjang operasi, Sazalee berkata, kesemuanya yang terlibat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua pihak yang menjalankan tugas di kawasan berisiko agar berwaspada kepada keadaan luar jangka khususnya kepala air ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).
Mayat lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di sini Isnin lalu ditemui pada jarak 65 kilometer (km) dari lokasi kejadian hari ini.
Mayat lelaki iaitu K. Suresh, 37, ditemui kira-kira pukul 10.30 oleh pasukan SAR.
Sebelum ini, kenderaan mangsa yang turut dihanyutkan kepala air di Sungai Klang dan ditemui kira-kira 1.5 km dari lokasi kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi ketika operasi SAR dilaksanakan.
Terdahulu, mangsa yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma kira-kira 5.40 petang pada 17 November lalu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Mayat lelaki hilang dihanyutkan kepala air ditemui 65 km dari lokasi jatuh
















