GEORGE TOWN – Seorang guru wanita kerugian sebanyak RM604,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin judi yang menjanjikan keuntungan sehingga 350 peratus dalam tempoh sebulan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 57 tahun itu terjerat selepas dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp Pelaburan Sentosa oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen pelaburan.
Jelas beliau, suspek mendakwa pelaburan itu mampu menjana keuntungan 350 peratus dalam tempoh sebulan daripada jumlah modal yang dilaburkan mangsa.
“Susulan itu, mangsa telah melayari laman web yang diberikan suspek dan melakukan 20 kali transaksi berjumlah RM604,000 ke lima akaun bank syarikat berbeza bermula 2 Oktober hingga 31 Oktober lalu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM1.8 juta yang dipaparkan dalam aplikasi pelaburan.
“Wanita itu kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya hari ini.
Kes disiasat memgikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
Justeru Azizee mengingatkan orang ramai agar berhati-hati sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan dalam talian.
“Buat semakan dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memastikan entiti berkenaan sah dan berlesen.
“Selain itu, gunakan portal ‘Semak Sebelum Lebur’ sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette














