Pihak forensik dan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian semalam.

BATU FERRINGHI – Polis Pulau Pinang mengesahkan tiada sebarang bukti menunjukkan kecederaan dialami seorang wanita warga Belgium di kediamannya di Jalan Pantai Miami di sini berpunca daripada tembakan seperti dakwaannya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 67 tahun itu membuat laporan kira-kira 11.39 pagi semalam, mendakwa terdengar bunyi letupan ketika berada di dalam rumah sebelum mengalami kecederaan yang disyaki akibat peluru sesat.

Katanya, mangsa yang memegang visa Malaysia My Second Home (MM2H) mendakwa kejadian tersebut berlaku pada Selasa lalu kira-kira 5.35 sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada hari sama dan ditahan wad selama sehari.

“Hasil siasatan di tempat kejadian oleh pasukan forensik menemui titisan darah dipercayai darah mangsa di sebuah bilik dalam rumah tersebut.

“Bagaimanapun pihak polis tidak menemui sebarang anak peluru atau kesan tembakan pada rumah itu.

“Selain itu, pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan laceration wound di bahagian atas kening mata dan kecederaan itu dipercayai akibat objek tumpul serta mengesahkan tiada sebarang luka tembakan pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azizee, siasatan awal turut mendapati beberapa aspek keterangan yang diberikan mangsa tidak konsisten dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan sah, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast