SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan warga Nepal hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mendera seekor kucing di sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, di sini, pada 15 November lalu.
Arman Shah, 33, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh fakta kes dan jatuh hukum.
Kes berkenaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin.
Media sebelum ini melaporkan seorang pengawal warga Nepal meliwat seekor kucing ketika dia mabuk.
Suspek kemudian mencampak kucing itu dari tingkat empat sebuah pangsapuri ketika ditegur seorang lelaki.
Sementara itu, lelaki tersebut turut dijatuhkan hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara tanpa dokumen sah.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhkan hukuman itu selepas Arman mengaku bersalah.
Dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya melelaui jurubahasa mahkamah.
Lelaki itu diperintah penjara tiga bulan bermula hari ini bagi sabitan Akta Imigresen.
Manakala sebulan lagi setelah selesai hukuman itu bagi kesalahan berpakaian separuh bogel.
Terdahulu, lelaki tersebut didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dengan mengganggu kesantunan iaitu dengan cara berpakaian separuh bogel di hadapan seorang lelaki berusia 33 tahun di tingkat empat blok pangsapuri di Kota Kemuning pada pukul 12.30 tengah malam 15 November lalu.
Dia turut didakwa memasuki negara tanpa sah di lokasi dan masa yang sama mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.
Arman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara dikurangkan selain memaklumkan belum berkahwin dan berpendapatan RM2,300 sebulan.
Kes dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam.-MalaysiaGazette















