KUALA LUMPUR – Mangsa banjir di tiga buah negeri mencecah 2,054 orang pagi ini melibatkan 782 keluarga yang dipindahkan sejak malam tadi.

Menurut laman web Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sehingga pukul 10 pagi, seramai 1,565 orang di Kelantan, 264 orang di Terengganu manakala 225 orang di Kedah.

Kesemuanya berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala daerah yang terjejas ialah Tumpat, Bachok dan Kota Bharu di Kelantan, Kuala Nerus di Terengganu dan Kulim di Kedah.

Agensi berkenaan melalui notis kesiapsiagaan operasi bencana dikeluarkan semalam, memaklumkan akan memantau situasi itu dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.

Sehubungan itu, jawatan kuasa pengurusan bencana negeri dan daerah perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana terutama di kawasan berisiko tinggi susulan amaran hujan berterusan peringkat buruk serta waspada di enam negeri.

Menurut notis itu, pihak jawatan kuasa pengurusan bencana negeri dan daerah diminta memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) perlu mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu.

NDCC memaklumkan siap siaga untuk menerima maklumat, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui talian 03-8064 2400, faksimili 03-8064 2429 dan e-mel [email protected].

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan sehingga esok.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) untuk tempoh sama manakala situasi serupa diramal di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Terengganu sehingga Rabu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast