Kembara Kitchen
Kakitangan Kembara Kitchen melakukan kerja-kerja pembungkusan makanan.

KUALA LUMPUR – Kembara Kitchen, sebuah badan usaha sosial aktif dalam misi kemanusiaan, mengaktifkan pelan kesiapsiagaan bencana lebih awal bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, khususnya di negeri-negeri pantai timur yang dijangka berdepan risiko banjir, termasuk Kelantan.

Pengasasnya, William Cheah berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif susulan jangkaan peningkatan taburan hujan dan kemungkinan bencana banjir yang boleh menjejaskan ribuan penduduk, sekali gus memerlukan persediaan logistik serta bekalan makanan yang mencukupi.

“Tahun ini sahaja, Kembara Kitchen telah melangkaui sasaran persiapan dengan sejumlah lebih 70,000 pek makanan siap dimakan (RTE) telah dikerahkan ke seluruh negara, termasuk misi bantuan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, hampir keseluruhan bekalan itu merupakan sumbangan rakan korporat, khususnya CIMB Foundation, dan sebahagian besar telahpun dihantar kepada pasukan responder di seluruh negara untuk digunakan apabila diperlukan.

Sebagai Rakan Korporat dan Rakan NGO kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kembara Kitchen turut menyediakan 10,000 pek RTE khas bagi kegunaan NADMA sebagai langkah kesiapsiagaan untuk misi bantuan pasca-MTL 2025/2026.

“Kami amat berbesar hati dengan kerjasama ini, disokong oleh Red A Humanitarian Development Global dan disumbang oleh OSK Foundation. Ia mengukuhkan komitmen kami untuk memastikan tiada yang kelaparan semasa bencana,” ujar William.

Kembara Kitchen
Selain makanan, Kembara Kitchen juga mengagihkan barangan keperluan untuk mangsa banjir.

Dalam usaha memperkukuh persiapan di Kelantan, Kembara Kitchen telah menyiapkan tambahan 20,000 pek ‘Hero Meals’ untuk agihan segera, dengan menu seperti Spaghetti Bolognaise, Nasi Basmathi Kari Ayam dan Kari Sayur, selain terus meningkatkan pengeluaran sehingga Mac tahun depan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain makanan, bekalan penting lain seperti lampin pakai buang bayi dan dewasa serta keperluan sanitasi turut disediakan bagi memastikan kesejahteraan mangsa bencana lebih terjamin.

William turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk syarikat korporat dan NGO untuk bersama-sama memainkan peranan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sokongan logistik. “Kerjasama kolektif adalah penting untuk tindak balas yang lebih efektif,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Pengurus Koordinasi Bencana Kembara Kitchen, Azreen Harun di talian +60 17-883 5249 atau terus ke Pusat Pengumpulan Kembara Community Care Center (K3C) di Kota Kemuning, Shah Alam.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga, untuk bersama-sama meringankan beban mangsa banjir,” tambah Azreen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast