Honda HRV yang dinaiki suspek terlibat dalam aksi keja-mengejar berhampiran Bank Negara Malaysia (BNM).

KUALA LUMPUR –  Nekad terjun tebing curam dan bersembunyi dalam hutan antara adegan tiga lelaki warga Indonesia cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis berhampiran Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari tadi, kenderaan jenis Honda HRV yang dinaiki tiga suspek telah ditahan pasukan cegah jenayah di sekitar Chow Kit selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, suspek bertindak agresif dengan merempuh seorang anggota dan melarikan diri ke Jalan Kuching dan memasuki ke kawasan BNM.

“Ketika aksi kejar-mengejar, suspek telah melanggar beberapa kenderaan termasuk motosikal orang awam sebelum disekat pihak polis di sekitar BNM.

“Kemudian kenderaan suspek juga terbabas merempuh tiang lampu serta pokok. Semasa kejadian, pemandu terbabit bertindak melarikan diri dan terjun tebing curam.

“Manakala seorang lagi bersembunyi dalam hutan di belakang BNM dan seorang lagi suspek, kita dapat tangkap serta-merta di kenderaannya,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas lanjut, Sazalee berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dan motif mereka melarikan diri masih dalam siasatan.

“Semakan ke atas HRV itu didapati bukan milik mereka dan ia didapati milik seorang individu lain, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek.

“Situasi anggota yang dirempuh suspek, mangsa mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” jelasnya.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas dua suspek yang cedera didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggang manakala seorang lagi tiada kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.