16 lelaki warga Rohingya didakwa menganggotai pertubuhan haram di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Penterjemah profesional antara 16 warga Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menjadi anggota Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia yang menyalahi undang-undang negara ini.

Sembilan daripada tertuduh iaitu penterjemah, Muhammad Islam Sultan Ahmad, 56, Mohd Islam Mir Ahmad, 54, Hamid Huson Ismail, 45, Nurul Amin Abdul Munaf, 45, Enamul Haque Mohammed Hussein, 43, Abdul Hamid Ahmad Husaim, 29, Mohamad Nur Mustak Ahmad, 32, Abdul Kudus Daul Rahman, 42, dan Sayed Amin Ruhul Amin,36, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah memegang jawatan ahli jawatankuasa Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 3 petang di Lorong Tingkat Ciku 5, Taman Ciku di sini, pada 19 November lalu.

Pendakwaan dikemukan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.

Anbananthan dalam mitigasi rayuan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum terhadap semua anak guamnya memandangkan pertubuhan berkenaan ditubuhkan bagi tujuan kebajikan warga Rohingya setempat dan bukannya untuk sebarang aktiviti kekerasan.

Masing-masing mereka membayar denda tersebut.

“Permohonan pendaftaran pertama pertubuhan ini telah ditolak dan mereka kini dalam proses mengemukakan rayuan kedua, namun sebelum proses itu selesai mereka telah ditangkap.

“Pertubuhan ini tidak terbabit dalam kekerasan atau melibatkan sebarang mangsa, selain pendakwaan hari ini juga bukan di bawah Kanun Keseksaan. Saya turut memohon mahkamah mengambil kira bahawa mereka telah direman selama tujuh hari sebelum dibawa ke mahkamah hari ini,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman Nurul Rasyidah turut mengingatkan kesemua tertuduh yang tinggal di negara ini untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Malaysia telah memberikan kebenaran atas dasar perikemanusiaan kepada kamu untuk tinggal di sini setelah diusir dari negara sendiri.

“Diharapkan selepas ini, kamu semua mendapat pengajaran dan patuh akan undang-undang,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap tertuduh dan enam bulan penjara jika gagal bayar.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, Jaafar Ahmed Mohammad Shafi, 55, Mubarak Husain Mohammad Islam, 40, Hamid Khan Kalamiah, 41, Mohamad Yunus Ismail Shorif, 34, Abu Siddiq Mohammad Husson,41; Nur Hussain Abu Shama, 43, Syed Hussain Oli Ahmed, 51, mengaku bersalah atas pertuduhan sama yang dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Kesemuanya dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua tahun penjara jika gagal bayar.

Pendakwaan dikendalikan Zulfadli hassan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nursyafiqah Zainudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast