KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan semua hukuman terhadap Selangor FC selepas menolak rayuan kelab itu berhubung insiden membabitkan kelakuan penyokong dan kegagalan mematuhi obligasi penganjuran perlawanan.
Keputusan itu dibuat semalam dalam mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029.
FAM berkata, Jawatankuasa Rayuan persatuan itu memaklumkan rayuan Selangor FC terhadap hukuman yang dikenakan susulan insiden pada aksi Suku Akhir 2 Piala FA 2025-2026 antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 29 Oktober lalu telah ditolak.
“Sehubungan itu, hukuman bermain tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA di gelanggang sendiri tetap dikekalkan,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Ia melibatkan perlawanan separuh akhir 2 Piala FA 2025-2026 menentang Sabah FC pada 30 November ini serta satu lagi perlawanan pertama musim berikutnya bagi saingan sama.
Selain itu, denda RM100,000 yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 14 November 2025 juga kekal tanpa sebarang perubahan.
Menurut FAM, keputusan ini dibuat selepas meneliti segala bukti dan hujahan yang dikemukakan, dan Jawatankuasa Rayuan berpendapat, hukuman asal adalah wajar serta selaras dengan peraturan pertandingan dan kod tatatertib badan induk tersebut.
Pada 15 November lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan, Selangor FC dikenakan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Beliau menjelaskan, Selangor dikenakan lima pertuduhan yang mana kelab itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5. – MalaysiaGazette
















