KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen PN (MP PN) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera dan tanpa berlengah, menyeluruh serta bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Albert Tei.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana dakwaan yang dibuat itu melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Tegas beliau, sekiranya siasatan SPRM tidak dilakukan, ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang.
“MP PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, menurut Takiyuddin, PN memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Albert berhubung dakwaan telah memberikan lebih RM600,000 kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mengumumkan peletakan jawatannya semalam.
Ujar beliau, Albert juga mendakwa menyusun dokumen lebih 300 halaman, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp, resit dan gambar, bagi menyokong dakwaannya.
“MP PN kekal komited pada prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang bagi menjamin keutuhan institusi kerajaan, maruah negara dan keyakinan rakyat,” katanya.
Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan MADANI.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Shamsul Iskandar menulis surat sokongan untuk projek pembinaan sebuah hospital pada 2024, sekali gus mendesak beliau dipecat.
Bagaimanapun, Anwar pada 21 November lalu berkata, tiada keperluan untuk membuat laporan terhadap tindakan setiausaha politik beliau berkenaan.
Anwar sebelum itu mengesahkan telah memberi teguran yang keras ke atas setiausaha politiknya kerana surat sokongan merupakan hal yang bertentangan dengan peraturan.
Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengangkat sumpah selaku Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 23 Disember 2022. – MalaysiaGazette
















