Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) hari ini menyatakan kebimbangan serius berhubung dakwaan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, susulan satu video pendedahan yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skandal tersebut mengejutkan kerana melibatkan individu yang pernah berada dalam kelompok terdekat kepimpinan tertinggi kerajaan.

Menurutnya, dakwaan yang dikaitkan dengan video individu dikenali sebagai ‘Albert Tei’ itu turut menimbulkan persoalan baharu mengenai kemungkinan wujudnya penyalahgunaan kuasa membabitkan perdana menteri dalam isu lesen mineral di Sabah, selain penglibatan beberapa ahli politik GRS.

Dakwa beliau, tuduhan yang dibangkitkan dalam video tersebut tidak hanya terhad kepada salah laku bekas pegawai berkenaan, sebaliknya menyentuh kemungkinan wujudnya konspirasi politik serta campur tangan terhadap kes berkaitan rasuah.

“Saya ingin tahu sama ada benar dakwaan Perdana Menteri menggunakan kedudukannya untuk melindungi ahli politik GRS yang disiasat berhubung kes rasuah lesen mineral Sabah sebagai pertukaran sokongan politik.

“Adakah benar kes berkenaan dijadikan sebagai tekanan terhadap mereka?” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Muhyiddin menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh mengelak daripada menjawab persoalan yang kini menjadi perhatian umum.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa seperti yang dibangkitkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast