Gambar hiasan

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan agar bersiap siaga dengan episod hujan lebat luar biasa berterusan susulan impak ribut tropika Senyar yang dijangka melanda tengah malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.

Menurutnya, ribut taufan itu sudah melanda sejak pukul 3.30 petang tadi di Indonesia, sebelum dijangka melanda Semenanjung negara ini dan kemudian bergerak ke Laut China Selatan.

“Ia dijangka melanda dalam tempoh 24 jam. Sekiranya berlaku, ia adalah ribut tropika ketiga terburuk yang akan melanda negara ini selepas kali pertama pada 1996 (Greg) dan kali kedua pada 2001 (Vamei).

“Ribut tropika dijangka melanda sehingga Sabtu dan beredar selepas Ahad. Negeri yang dilanda banjir dijangka menjadi lebih teruk disebabkan paras air sungai dan perairan telah tepu (saturated), selain ia juga membawa angin kencang dan laut bergelora,” katanya sidang media di ibu pejabat MetMalaysia, di sini hari ini.

MetMalaysia mengeluarkan amaran berhubung pembentukan satu ribut tropika yang dikesan berada pada Latitud 3.7° Utara dan Longitud 98.6° Timur.

Menurutnya,  ribut tropika itu dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan sekitar tujuh kilometer sejam, dan berpotensi membawa angin maksimum sehingga 65 kilometer sejam.

Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd
Hisham Mohd Anip bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini ribut Tropika
Senyar di Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 NOVEMBER 2025

Mohd. Hisham berkata, ribut itu melanda Aceh dengan kelajuan 80 kilometer sejam dan dijangka melemah pada 50 kilometer sejam apabila memasuki Semenanjung.

“Kelajuan angin biasa adalah pada 10 hingga 20 kilometer sejam. Ribut tropika ini sebenarnya akan menjadi lebih kuat sekiranya mendapat tenaga dari air hujan dan kelembapan,” ujarnya.

Beliau menambah, antara faktor yang menyebabkan ribut taufan itu adalah tiupan angin monsun dari China bertembung dengan tekanan rendah di utara Semenanjung, sekali gus menguatkan lagi sistem ribut.

Sehubungan itu beliau, telah mengeluarkan nasihat sistem cuaca yang dikemas kini setiap tiga jam bermula 23 November lalu.

Apabila sistem tersebut telah memasuki kawasan pemantauaniaitu dalam lingkungan latitud 0 darjah sehingga 20 darjah utara dan longitud 95 darjah hingga 130 darjah timur.

Taburan hujan di Kelantan, baru-baru ini adalah sebanyak 1,000 milimeter (mm) dalam masa empat hari, Perlis 400 mm dalam masa dua ke tiga hari, manakala, jangkaan intensiti hujan akibat ribut tropika itu adalah sekitar 200-300 mm bergantung kawasan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast