KUALA LUMPUR – Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) secara tidak langsung mengesahkan tafsiran sesetengah pihak terhadap wujudnya perancangan untuk melantik beliau ke jawatan tertinggi badan kehakiman.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sentimen awam seperti itu dari semasa ke semasa akan menghakis kredibiliti reformis kerajaan.
Sedangkan, menurut beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi, kredibiliti reformis itu ketika ini merupakan faktor paling penting sekiranya PKR dan Pakatan Harapan (PH) mahu dipilih semula sebagai kerajaan untuk penggal kedua.
Tambah Rafizi, kebimbangan terbesar beliau bersabit isu itu juga adalah berkenaan dakwaan yang terkandung dalam minit JAC yang bocor sebelum ini, yang masih belum disiasat sehingga ke hari ini.
“Ini mewujudkan situasi double jeopardy bagi kerajaan.
“Bukan sahaja persoalan mengenai kredibiliti Tan Sri Teriruddin akan terus berlegar, malah dengan pelantikan beliau ke dalam JAC ini, ia memberikan gambaran bahawa Perdana Menteri bertekad untuk meneruskan langkah meletakkan Tan Sri Teriruddin ke jawatan penting badan kehakiman, walaupun dakwaan berhubung Tan Sri Teriruddin belum diselesaikan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Rafizi turut menarik perhatian terhadap kebimbangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung pelantikan baharu ahli JAC seperti dilaporkan media.
Menurutnya, adalah sesuatu yang jarang berlaku untuk Sultan membuat kenyataan umum mengenai pelantikan atau perjalanan pentadbiran kerajaan, justeru titah Tuanku Muhriz tersebut tidak boleh dipandang ringan.
“Walaupun Datuk Seri Anwar mungkin berharap isu ini reda begitu sahaja, ia menyentuh hati satu segmen penting dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan penyokong PH/PKR.
“Mereka yang sangat mengambil berat tentang kebebasan kehakiman adalah penyokong teras PH/PKR, terutamanya dalam kalangan kelas menengah.
“Lagipun, pengamal undang-undang merupakan antara penyokong terawal reformasi kerana kebimbangan mereka terhadap tindakan pihak berkuasa dan badan kehakiman ketika itu,” katanya.
Terdahulu, berdasarkan warta kerajaan bertarikh 18 November lalu, Ahmad Terrirudin dilantik sebagai anggota JAC untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 15 November 2025 hingga 14 November 2027.
Bekas Peguam Negara itu dilantik oleh Perdana Menteri menurut perenggan 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).
Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak kerajaan menyiasat segera isu penularan dokumen yang didakwa sebagai Minit Mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang mengaitkan nama Ahmad Terrirudin dengan beberapa dakwaan serius. – MalaysiaGazette
















