KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam tiga meter akibat mendapan tanah dekat Apartment Sri Meranti, Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.16 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 6.48 petang, pasukan mendapati berlaku mendapan tanah di kawasan apartment berkenaan dan terdapat seorang lelaki tempatan di dalam lubang.
“Anggota yang berada di lokasi berkenaan berjaya membawa keluar mangsa yang juga pekerja kedai makan berusia lingkungan 50-an pada jam 6.54 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa mengalami cedera di bahagian pinggang. – MalaysiaGazette
















