TUARAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, jika ahli politik berterusan memainkan isu sentimen perkauman dan agama, tiada negara yang boleh mencapai kemajuan.
Anwar berkata, ada segelintir ahli politik yang cuba menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat kerana perbezaan agama dan kaum.
“Setengah-setengah orang benci, kerana dia Kristian, dia benci Muslim, dia Muslim, dia benci Cina.
“Bukan cara kita. Saya betul, saya Muslim, tapi tanggungjawab, saya jaga semua.
“Anak orang Kristian itu anak saya. Anak orang Kadazan, anak saya. Anak orang Murud, anak saya. Anak orang Bugis lagi anak saya.
“Baru boleh pimpin, Datuk Seri Hajiji Noor jadi Ketua Menteri,” katanya berucap pada majlis Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di sini, hari ini.

Anwar berkata, ada pemimpin politik apabila berkempen seolah-olah mahu mengajak rakyat bergaduh sedangkan mereka terus memperoleh kekayaan.
“Apa, mau perang? Mau gaduh? Kamu gaduh, tapi kamu kaya. Gaduh rakyat, rakyat miskin. Sebab itu saya langsung tidak setuju dengan politiknya sebegini.
“Kamu cakap besar. Kamu serang sana, serang sini. Fitnah sana, fitnah sini.
“Kamu kaya rakyat miskin. Saya mahu rakyat bangkit di Sabah ini. Tentukan masa depan kita,” katanya.
Anwar juga menasihati anak-anak muda di Sabah agar mereka sendiri menentukan masa depan mereka, bukan ahli politik yang terdesak.
“Terutama anak-anak muda. Ini masa depan and masa depan anda ditentukan anda sendiri, bukan ditentukan ahli politik yang terdesak atau sesetengah ahli akademik.
“Marah terus, bising terus, tapi tak bernilai ikut fakta, tanam benci.
“Bajau lawan Bugis. Bugis lawan Melayu. Melayu lawan Cina, yang untung orang kaya di atas, yang susah orang miskin di bawah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















