Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Program Kesejahteraan Komuniti - Disiplin Terjaga, Generasi Terbina" 2025 di pusat Konvensyen HGH, Sentul, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Suspek yang menyerang seorang wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar pada Selasa lalu dipercayai tersilap sasaran namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas siasatan selesai.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, siasatan awal mendapati serangan terhadap individu terbabit dipercayai berunsur peribadi akibat gangguan terhadap isteri suspek.

Bagaimanapun, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan akan dibawa ke peringkat Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk penentuan pertuduhan.

“Seperti ada gangguan terhadap isteri dia (suspek) jadi lebih kepada peribadi namun nampak macam salah sasaran pun ada kerana dia mahu pukul yang kacau isterinya tetapi salah orang,” katanya ketika sidang media selepas hadir Program Kesejahteraan Komuniti Disiplin Terjaga, Generasi Terbina tahun 2025 di HGH, Convention Centre, di Sentul, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook sebelum ini, memaklumkan suspek ditahan di Taman Ikan Emas di ibu negara kira-kira jam 2 pagi, Rabu lalu.

Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Chang Hook turut mengesahkan polis menerima laporan daripada Haresh, yang juga wartawan portal, mengenai kejadian itu pada jam 4 petang, hari Selasa di Pondok Polis Bangsar.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast