KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat berkaitan Lekukan Tropika yang dikesan pagi ini mengakibatkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lekukan itu dikesan pukul 11 pagi di latitud 4.0 utara dan longitud 10.4.0 timur dengan pergerakan ke arah timur laut dengan kelajuan 5km/j.
“Jarak lekukan tropika itu dari bandar terdekat adalah kira-kira 81 kilometer ke timur laut Kuantan, Pahang, ” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, jabatan itu.
Lekukan Tropika adalah istilah meteorologi yang merujuk kepada peringkat awal dalam pembentukan siklon tropika (seperti ribut tropika atau taufan).
Ia adalah sistem cuaca yang bercirikan angin dan awan yang berputar, tetapi kelajuannya masih rendah.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL).
Orang ramai juga diminta sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638. – MalaysiaGazette
















