KUALA TERENGGANU – Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang disyaki cuba merakam video seorang wanita di dalam tandas awam wanita di tingkat satu sebuah pasar raya di sini minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Terengganu , Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pasukannya menahan lelaki berkenaan dalam satu serbuan di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Merbau, Kampung Bukit Kecil, Setiu kira-kira jam 11 pagi hari ini.
”Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit warna putih jenama iPhone 13 berserta sekeping kad sim Digi yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
”Siasatan awal mendapati suspek mengaku memasuki tandas wanita di pusat beli-belah terbabit dengan niat untuk merakam gambar atau video wanita namun perbuatannya tidak sempat dilakukan sepenuhnya apabila telefonnya disimbah air oleh mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan mengaibkan kehormatan seseorang.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira 6.12 petang, 20 November lalu, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual menyedari sebuah telefon bimbit diletakkan dari arah bawah dinding tandas sebelum mendapati peranti itu sedang merakamnya ketika berada di dalam tandas.
Terkejut dengan kejadian itu, mangsa bertindak menyiram air ke arah telefon bimbit berkenaan sebelum keluar dari tandas dan melihat seorang lelaki memegang peranti terbabit.
Mangsa cuba mengejar suspek bagi tujuan pengesahan namun lelaki berkenaan bertindak melarikan diri.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
Azli seterusnya menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan khususnya membabitkan keselamatan dan privasi di tempat awam. – MalaysiaGazette
















