KUALA LUMPUR – Seramai 6,222 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar di Hatyai dan kawasan sekitarnya berjaya dievakuasi sepenuhnya melalui operasi menyelamat yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, operasi evakuasi tersebut melibatkan koordinasi rapat antara pihak Kedutaan, Konsulat Jeneral serta lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sukarelawan Malaysia.
“Pada hari terakhir operasi, baki 12 rakyat Malaysia yang masih terkandas berjaya dibawa pulang ke tanah air melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.
“Operasi evakuasi yang bermula pada 22 November 2025 dijalankan dalam keadaan yang amat mencabar, termasuk arus deras yang membahayakan, paras air yang tinggi, serta gangguan komunikasi dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata, walaupun berdepan pelbagai kekangan, semua mangsa Malaysia yang terkandas, termasuk mereka yang terperangkap di lebih 150 hotel dan penginapan kecil, berjaya dijejaki oleh pasukan penyelamat.
“Kementerian merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Kerajaan Thailand atas bantuan, penyelarasan dan solidariti yang tidak ternilai sepanjang usaha menyelamat tersebut,” menurut kenyataan itu.
Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada NGO dan sukarelawan tempatan yang berperanan besar dalam operasi tersebut.
Komitmen mereka, menurut kementerian mencerminkan semangat keprihatinan dan kerjasama sejajar dengan nilai-nilai Malaysia Madani.
“Kementerian turut mengiktiraf sumbangan pasukan-pasukan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam kejayaan operasi ini termasuk Tim Truck Towing Perlis; Tim Bas FTC Insurance – C3; Tim Persatuan Sikhs Malaysia; Tim TravelThai.My; Tim Jetski; serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari pelbagai negeri antaranya Sungai Petani, Sukun Bukit Mertajam, Padang Sera, Bukit Bendera, Alex Team, Kepong Selangor, Kepala Batas, Menglembu, Kahang Johor, Teluk Intan, Pekan Ipoh, Sri Serdang dan Bangi,” kata Wisma Putra lagi.
Dalam kenyataan sama, pihak kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang mengembara ke kawasan berisiko banjir bermusim disarankan untuk mendaftar keberadaan dengan wakil diplomatik Malaysia terdekat.
Langkah itu penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera sekiranya berlaku kecemasan atau gangguan akibat cuaca buruk.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia menyalurkan bantuan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang masih memerlukan sokongan,” jelas Wisma Putra lagi. – MalaysiaGazette
















