MELAKA – Satu insiden lubang benam (sinkhole) dikesan di Jalan SPA, lewat malam tadi sehingga memaksa satu lorong kanan ditutup bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Kejadian pada jam 11.18 malam itu berlaku di Laluan Persekutuan FT033, Seksyen 22.0, berhampiran kawasan menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dekat Ayer Keroh.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata, menurut laporan awal, kawasan terjejas berukuran kira-kira 10 meter panjang dan 5 meter lebar.
“Pemeriksaan awal mendapati berlaku kejadian sinkhole ketara pada permukaan jalan yang diterima jam 11.18 malam.
“Penutupan lorong kanan sepanjang kira-kira 300 meter dibuat serta-merta bagi mengelakkan risiko kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tambahnya, pihak penyelenggara turut melakukan langkah keselamatan awal sebaik sahaja mendapat maklumat kejadian itu yang tular malam tadi.
“Pemasangan papan tanda amaran dan lencongan jalan telah dibuat serta pemantauan berterusan sedang dijalankan untuk menilai tahap kestabilan kawasan terlibat.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati serta mematuhi semua papan tanda keselamatan yang disediakan di lokasi,” tambahnya.

Malam tadi, tular di Facebook Melaka Explorer mengenai kejadian itu dan orang ramai meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum berlaku kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette
















