Rafidah Ibrahim. (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Pelakon, Rafidah Ibrahim antara empat individu yang ditahan pihak polis selepas cuba menganjurkan perhimpunan bagi mencetuskan kekecohan dan mengganggu keamanan semasa Majlis Pecah Tanah di Kampung Sungai Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi kenyataan berkata, penahanan keempat-empat individu itu dibuat pukul 8.50 pagi selepas pihaknya menerima maklumat berhubung perhimpunan yang dijadualkan pukul 8 pagi di lokasi sama.

“Kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki Melayu, seorang lelaki India dan dua wanita Melayu berusia antara 39 hingga 47 tahun.

“Semasa ditahan, mereka menjerit-jerit sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan majlis pecah tanah berkenaan,” katanya.

Jelasnya, individu berkenaan didakwa turut mengajak orang ramai supaya menghadiri protes yang sama.

Ajakan dibuat menerusi akaun TikToknya pada 28 November lalu dengan tajuk Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru.

Dalam pada itu, Fadil berkata, kesemua yang ditahan disiasat di Bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan kerana suspek disyaki menjadi dalang perhimpunan tersebut.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hari ini bermula pukul 10 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast