Temu Bual Master Instruksional dan Kurikulum Pendidikan, Kogilavani Sockalingam bergambar bersama keluarga pada Graduan News Value sempena Konvo UPM Ke-49 Sidang 2 Tahun 2025 di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 DISEMBER 2025

SERDANG – Hasrat yang tidak kesampaian untuk menyambung pelajaran di tahap Master lebih 10 tahun lalu tidak pernah terpadam dalam hati nurani seorang guru, Kogilavani Sockalingam.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching itu akhirnya berjaya menjadi menggegam skrol Sarjana Instruksional dan Kurikulum Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Kata beliau, keinginan untuk menyambung pelajaran selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda 18 tahun lalu tidak kesampaian kerana kekangan waktu dalam masa yang sama dua anaknya ketika itu masih kecil.

Kini katanya, selepas dua anaknya berusia 13 dan 16 tahun beliau dan suami sama-sama berjuang menyambung pelajaran.

“Nak belajar waktu umur 34 tahun saya sempat sambung sekejap di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dalam Master tapi sebab komitmen bekerja dan anak masih kecil, saya hentikan, saya sangat sedih waktu itu.

“Tapi saya tetap simpan hasrat nak sambung semula. Selepas itu suami saya pula dapat sambung pengajian di UM (Universiti Malaya), dia konvo esok.

“Pada masa itu saya fikir saya pun perlu sambung belajar juga. Selain itu anak-anak pun sudah besar tiada lagi nak dijaga di rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut tambahnya, sebagai seorang guru, beliau sentiasa mahu meningkatkan nilai tambah diri dari semasa ke semasa.

Bukan hanya demi kerjaya diri sendiri namun dalam masa yang sama demi meningkatkan ilmu di dada, tambah Kogilavani.

“Sebagai seorang guru, perlu sentiasa tingkatkan kemahiran dan pendidikan diri sendiri, tidak boleh berada di zon selesa sahaja.

“Kita kena sambung belajar tahu apa perkembangan semasa di universiti dan sekolah. Program Instruksional dan
Kurikulum Pendidikan banyak membantu saya sebagai seorang guru.

“Saya boleh faham bagaimana kurikulum baharu dan perubahannya,” katanya.

Melanjutkan pelajaran di usia 42 tahun bukanlah perkara yang mudah, beliau pernah hilang semangat namun pensyarah dan keluarga sentiasa memberikan sokongan penuh sehingga Kogilavani berjaya menamatkan pengajian.

“Pernah rasa bolehkah saya tamatkan, dengan banyak mata pelajaran perlu diambil. Tapi pensyarah dan penyelia selau beri semangat kepada saya.

“Anak pun tahun depan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), jadi saya perlu jadi contoh yang baik kepada anak saya untuk tidak mengalah timba ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast