Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Penutup Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025 di Hotel Premiera Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperhalusi dan meminda undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan tidak bermoral  dan songsang  di negara ini susulan serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, pada Jumaat lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan ke atas penahanan 201 individu terlibat sedang berjalan kerana Ketua Polis Kuala Lumpur memaklumkan intipan sudah dilakukan yang memakan masa berbulan-bulan.

“Penguatkuasaan telah dilakukan secara bersama dengan agensi lain yang menghasilkan jumlah tangkapan besar berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada, baik di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau Kanun Keseksaan.

“Apakah ada satu keperluan untuk melihat semula peruntukkan undang-undang yang sedia ada bagi menangani kes-kes seperti itu? Jawapannya, ya.. sudah sampai masanya untuk kita teliti berapa peruntukkan yang terkait.

“Kalau berdasarkan peruntukkan sedia ada, saya boleh sebutkan ia tidak memadai untuk kita mengambil tindakan ke atas kes yang sebegitu. Jadi akhirnya serbuan, tangkapan kemudian mahkamah tidak benarkan reman dilanjutkan.

“Namun, bukan bermakna siasatan akan terhenti selepas jaminan polis diberikan, bila ada keperluan kita akan memanggil semula individu terbabait untuk melengkapkan siasatan.

“Sebab operasi dijalankan berskala besar sebegitu ada kekangan masa untuk kita melengkapkan kertas siasatan kemudian nak kenal pasti akta mana bagi menentukan hala tuju siasatan,” katanya.

Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama-sama dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (empat kanan), Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis Datuk Zolkopli Dahalan (tiga kiri) dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (dua kiri) bergambar pada majlis Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) Tahun 2025 di Hotel Premiera. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025, di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

Mengenai dakwaan pencabulan privasi oleh pihak yang mempertikaikan serbuan itu, Saifuddin Nasution menegaskan  aspek privasi tidak terpakai dalam konteks operasi penguat kuasaan di premis yang menempatkan ratusan pengunjung.

“Saya sebut tadi privacy itu kalau dia bersendirian di rumah. Ini di premis dengan 201 orang, privacy apa lagi? Seperti saya sebutkan polis terpaksa mengimbangi antara tanggungjawab penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral dengan hak sivil individu.

“Jadi mana-mana pihak, termasuk NGO perlu melihat isu tersebut dalam konteks lebih luas, yang mengambil kira perbuatan yang bercanggah dengan nilai agama dan moral,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast