Reaksi seramai 13 orang pemimpin tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn Bhd memeluk ahli keluarga sebaik dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 15 bulan atas kesalahan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 NOVEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Pembebasan individu-individu yang dikaitkan dengan GISBH Holdings (GISBH) adalah selaras dengan peruntukan undang-undang setelah mereka selesai menjalani hukuman penjara yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, oleh itu, pembebasan mereka bukan disebabkan oleh pengguguran kes, kekurangan bukti atau disebabkan keputusan pentadbiran mana-mana agensi.

Sebaliknya, jelas beliau ia merupakan pelaksanaan sepenuhnya keputusan kehakiman.

“Selain daripada itu, kumpulan ini juga telah diambil tindakan siasatan oleh pihak Pasukan Siasatan Penggubahan Wang Haram (AMLA) PDRM. Sebanyak 230 kertas pertuduhan kes Penggubahan Wang Haram (AMLA) telah dikenakan kepada ahli kumpulan ini dan kes ini masih di dalam perbicaraan.

“PDRM juga telah berjaya menyita sebanyak RM 23 juta harta milik kumpulan ini dengan pecahan wang sebanyak RM 1.5 juta dan harta sebanyak RM 21.5 juta,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Negera yang disiarkan melalui laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang memohon penjelasan kes GISBH yang semua anggotanya dibebaskan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan ingin menegaskan, aspek keselamatan dalam negara kekal menjadi keutamaan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri komited memastikan setiap tindakan penguatkuasaan berkait GISBH atau mana-mana pertubuhan lain dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selaras dengan undang-undang.

Pada 23 Oktober 2024, seramai 22 orang dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di Selangor di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, manakala 38 lagi dibebaskan atas alasan kekurangan bukti dan keterangan.

Pada 7 November 2025, katanya satu prosiding dijalankan di Mahkamah Khas Penjara Kajang di Selangor susulan permohonan representasi dikemukakan pihak pembelaan semua orang kena tuduh (OKT).

“Dalam prosiding itu, semua OKT ditawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan mereka mengaku salah di mana sembilan OKT perempuan dijatuhkan hukuman denda RM4,500 seorang, manakala 13 OKT lelaki dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan daripada tarikh tangkap.

“Kesalahan disabitkan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 adalah melibatkan kesalahan menyertai, membantu atau terlibat dalam pertubuhan yang tidak berdaftar atau dilarang, sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen-seksyen berkaitan dalam akta berkenaan,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata kumpulan terbabit juga diambil tindakan siasatan oleh pihak Pasukan Siasatan Penggubahan Wang Haram (AMLA) PDRM dengan 230 kertas pertuduhan kes AMLA dikenakan kepada mereka yang mana kes ini masih dalam perbicaraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast