KUALA LUMPUR – Sejak dilancarkan pada 2020, Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan hampir 10 juta premis kini tersedia dengan capaian gentian optik.
Selain itu, JENDELA juga berjaya memastikan lebih 90 peratus kawasan berpenduduk kini berjaya mendapat capaian kepada liputan Internet.
Pencapaian signifikan ini memberi impak positif dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat, khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
Sebagai contoh, akses kepada Internet yang stabil membolehkan golongan usahawan menjalankan perniagaan dengan lebih efisien melalui platform digital, e-dagang, serta pemasaran dalam talian, sekali gus memacu kepada ekonomi digital yang kini lebih inklusif apabila lebih ramai meneroka peluang dalam ekonomi gig dan keusahawanan digital.
Dalam sektor pendidikan pula, peningkatan capaian Internet memberikan akses yang lebih adil kepada sumber pembelajaran digital, lebih-lebih lagi kepada pelajar luar bandar serta pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Platform pembelajaran interaktif, kuliah maya dan bahan rujukan digital kini boleh diakses dengan lebih mudah, sekali gus merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.
Di Sabah misalnya, liputan capaian 4G di meningkat kepada 96.81 peratus berbanding 73.41 peratus, sejak JENDELA dilaksanakan, dan memberi manfaat kepada tambahan 877,500 penduduk negeri.
Dalam menyasarkan liputan menyeluruh, JENDELA turut memasukkan penyelesaian sementara seperti sambungan satelit (BWA) bagi komuniti luar bandar dan pedalaman, membolehkan kampung terpencil atau komuniti di pulau tetap mendapat sambungan Internet.
Semua pencapaian itu memberikan asas kuat agar penduduk di luar bandar Sabah tidak lagi dikira sebagai “terpinggir digital”, sebaliknya mendapat akses kepada pendidikan dalam talian, ekonomi digital, maklumat, komunikasi moden dan peluang sosioekonomi yang setara.

Bagi pemerhati sosial Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, inisiatif JENDELA bukan sekadar propaganda statistik, sebaliknya merupakan gerakan ke arah keadilan sosial dan kesaksamaan hak digital.
Antara impak paling ketara, tambahnya, pelajar di kampung dan pedalaman kini berpeluang mengikuti kelas secara dalam talian, akses platform pendidikan dan maklumat tanpa perlu bandar.
Selain itu, ujarnya, usahawan kecil, peniaga kampung, pengusaha hasil tradisional dan kraf tangan di pedalaman Sabah atau kampung tepi laut kini boleh memasarkan produk mereka secara dalam talian, menjangkau pembeli di luar kawasan, membuka ruang ekonomi bebas bandar dan mengurangkan migrasi ke bandar besar.
Dalam masa sama, tambah beliau, JENDELA turut membuka akses kepada maklumat, perkhidmatan asas, komunikasi dan perkhidmatan kerajaan di dalam talian.
“Ini penting untuk integrasi komuniti, membantu pembangunan sosioekonomi dan mengurangkan jurang pembangunan bandar serta luar bandar.
“Untuk masyarakat peribumi atau yang tinggal di pulau dan pedalaman, sambungan satelit atau BWA serta fiberisasi membolehkan mereka turut “memasuki arus” digital, tanpa tertinggal hanya kerana lokasi,” katanya.

Mohd. Zaki Harry yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Common Tower Technology turut menambah, insiatif JENDELA telah berjaya membawa rakyat Malaysia sama ada di bandar atau luar bandar jauh ke hadapan.
Namun, ujarnya, terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam memastikan inisiatif JENDELA itu memberi manfaat lebih menyeluruh khususnya dalam komuniti luar bandar.
Antaranya, kata beliau, dengan memberi fokus dan keutamaan di kawasan paling pedalaman atau terpencil terlebih dahulu, terutama di kampung-kampung yang jauh dan kawasan pulau.
Selain itu, ujarnya, liputan 4G atau 5G pula harus konsisten, stabil, mampu menampung beban data dan memberi pengalaman kepada pengguna yang baik terutama untuk pendidikan, e-dagang, teleperkhidmatan dan video atau kelas dalam talian.
Ujarnya, untuk mendapatkan akses yang lebih stabil terutama di rumah, kampung dan kawasan pedalaman pula, gentian optik atau alternatif tetap perlu diperluas terutama untuk premis pendidikan, rumah di kampung terpencil, sekolah dan pusat komuniti.
Ke arah itu, ujarnya, Kementerian Komunikasi dan MCMC perlu melaksanakan peninjauan bagi untuk mengenal pasti “dead-zone” terbesar di Sabah dan menjadikannya keutamaan dalam pelan Fasa 2 JENDELA.
Dalam masa sama, tambahnya, program dan latihan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di daerah luar bandar perlu dipertingkatkan, dengan sasaran kepada pelajar, usahawan kecil, komuniti pedalaman dan pulau.
“Transformasi digital sebenar yang meninggalkan ‘zero’ rakyat di belakang hanya akan berlaku apabila sambungan, peluang dan akses dirasai oleh semua iaitu dari bandar hingga pedalaman, dari Kudat ke Tawau dan dari bangunan komersil ke kampung di pedalaman serta pulau.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bekerja di lapangan, saya menyeru kerajaan, MCMC dan semua pihak berkepentingan menjadikan akses Internet pantas sebagai hak asas dan bukan sebagai “kemewahan bandar,” katanya. – MalaysiaGazette
















