KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan memutuskan rombakan Kabinet selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri petang ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa beliau tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran, sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri, dua hari lalu.
Menurutnya, pertimbangan sedemikian kerana tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Mungkin rombakan itu, kalau ada masa yang panjang tapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu setengah tahun saja, jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan.
“Bagaimanapun, saya sedang merenung apakah langkah yan harus diambil tapi mengisi kekosongan itu ada keperluan,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, Anwar turut menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua yang berkuat kuasa hari ini.
Menurut beliau, pelantikan ini membolehkan mereka meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia Madani.
Tiga menteri itu dilantik semula sebagai Senator bagi penggal kedua selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara hari ini.
Upacara mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan semula mereka berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Disember 2028. – MalaysiaGazette
















