KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan dua inisiatif utama yang bertujuan memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan generasi muda iaitu Malaysia Against Malicious Exploitation – Community of Practice (MYGAME–CoP) dan PROSTAR 2.0 Ke Arah Mengakhiri AIDS 2030.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat JKPBk kali ke-6 hari ini.
Beliau berkata, JKPB terus berfungsi sebagai platform utama Kerajaan Madani untuk menyelaras dasar pembangunan belia secara inklusif, terancang, menyeluruh dan bersepadu.

“Inisiatif MYGAME–CoP yang dibentang oleh Kementerian Luar Negeri akan menjadi platform kerjasama antara agensi kerajaan, penyelidik, penyedia platform permainan digital dan komuniti pemain.
“Inisiatif ini bertujuan untuk beberapa perkara antaranya menghalang eksploitasi ruang permainan oleh pihak berniat jahat atau kumpulan ekstremis, membangunkan garis panduan keselamatan dan kerangka perkongsian maklumat.
“Selain itu ia juga adalah untuk meningkatkan ketahanan digital belia melalui pendidikan dan sokongan teknikal dan memposisikan Malaysia sebagai peneraju keselamatan digital serantau khususnya dalam sektor e-sukan dan permainan dalam talian.
“MYGAME–CoP memastikan belia dilindungi di alam maya dan menyumbang kepada keselamatan serantau dalam menangani ekstremisme moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain MYGAME–CoP, inisiatif untuk PROSTAR 2.0 juga turut diberi penekanan.
“Inisiatif yang dibentang oleh Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada kesihatan belia dan peranan mereka sebagai agen perubahan dalam komuniti.
“Program ini akan memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif secara menyeluruh bagi golongan belia.
“Penglibatan belia adalah sebagai agen perubahan rakan sebaya (peer educators) dalam menyebarkan mesej Kesihatan dengan intervensi awal terhadap tingkah laku berisiko serta pengurangan stigma berkaitan HIV/AIDS,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid lagi, program itu menyokong komitmen negara untuk mencapai sasaran ‘Mengakhiri AIDS Menjelang 2030’ sekali gus memberdayakan belia sebagai pemimpin perubahan kesihatan awam.
Beliau turut menekankan agenda pembangunan dan kesejahteraan golongan belia ini adalah bersifat rentas kementerian termasuk menangani isu-isu kritikal seperti kesihatan mental, penyalahgunaan dadah, buli siber, ketagihan digital dan kemurungan. – MalaysiaGazette















