KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa wujud penglibatan ‘jerung’ atau ‘dalang’ terbesar di sebalik penghasilan rakaman video berkaitan skandal rasuah di Sabah.
Dakwa beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin memberitahu bahawa Perdana Menteri sendiri mengarahkan rakaman dibuat bagi mendedahkan penglibatan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah dalam gejala rasuah.
“Sejak November 2024, saya memperjuangkan skandal rasuah Sabah kerana di belakangnya ada ‘jerung’ atau ‘dalang’ terbesar.
“Saya ni siapa? SPRM telah siasat saya selama tujuh hari, saya bukan ahli politik, saya hanya rakyat jelata. Tanpa ‘jerung’ di belakang, adakah saya berani buat?,” demikian persoal ahli perniagaan tersebut ketika ditemui media sejurus dilepaskan dengan jaminan.

Sehubungan itu, Albert memberi tempoh tujuh hari dan menuntut penjelasan supaya Perdana Menteri sendiri mengesahkan sama ada benar atau tidak beliau mengarahkan rakaman dibuat berkaitan isu ADUN di Sabah.
Ahli perniagaan itu turut mempersoal sama ada Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut disiasat atau kenyataan mereka direkod berkaitan video berkenaan.
Albert malah membangkitkan kejadian serbuan pada 28 November lalu sambil menyatakan secara terperinci bagaimana cara penguat kuasa SPRM menceroboh kediamannya.
Dakwa ahli perniagaan itu, pegawai SPRM tidak menunjukkan waran atau kad kuasa sebaliknya cara mereka seolah-olah menggambarkan dia pengedar dadah atau pengganas.
“Mereka tendang pintu dan acukan pistol pada saya. Apa kesalahan saya? Apa yang saya ancam SPRM? Mereka kata saya langgar notis, tapi saya tak nampak pun notis itu,” katanya.
Albert turut meluahkan rasa tidak puas hati berhubung tindakan SPRM memadam rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) ketika memecah masuk rumahnya selain merampas dekoder peranti itu.
“Saya tegaskan jika dekoder itu rosak atau terpadam, saya akan tuntut daripada SPRM hingga ke lubang cacing,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















