Penguatkuasa mengeluarkan notis keperluan permohonan lesen di bawah inisiatif Zero Discharge Policy (ZDP) terhadap sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong, semalam.

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyertai satu operasi bersepadu bagi menangani kes pelepasan efluen terlarang yang dikesan mencemarkan beberapa loji rawatan kumbahan (LRK) di sekitar Taman Perindustrian Puchong, semalam.

Operasi berkenaan diketuai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan turut membabitkan beberapa agensi lain termasuk Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Dalam kenyataan, LUAS memaklumkan pemeriksaan memberi tumpuan kepada sebuah premis penyembelihan ayam yang disyaki melepaskan efluen secara tidak teratur sehingga berpotensi menjejaskan kualiti sumber air berhampiran.

“Semakan di tapak menjurus kepada impak terhadap sumber air, khususnya melibatkan pembuangan air kembalian serta sebarang kemasukan atau pelepasan bahan buangan dan bahan pencemar,” kata kenyataan itu.

Ekoran pemeriksaan tersebut, LUAS telah mengeluarkan notis keperluan permohonan lesen di bawah inisiatif Zero Discharge Policy (ZDP) kepada premis berkenaan.

Agensi itu turut mengingatkan semua premis penternakan supaya sentiasa peka terhadap pengurusan efluen masing-masing, mematuhi syarat pelesenan di bawah ZDP serta memastikan tiada pelepasan yang mencemarkan sumber air negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast