Detik-detik remaja yang menunggang secara melawan arus dan bertembung dengan kereta di Jalan MKH Boulevard 2, Jalan Bukit, di sini, petang kelmarin, Gambar: Pengguna Facebook .

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan MKH Boulevard 2, Jalan Bukit, Kajang, petang kelmarin.

Dalam insiden kira-kira pukul 2 petang itu, remaja terbabit menunggang motosikal bersama seorang lelaki berusia 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, motosikal dinaiki kedua-dua lelaki itu bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 30 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang tidak mematuhi tanda arah laluan serta bertindak melawan arus sebelum berlanggar dengan kereta dari arah bertentangan.

“Siasatan turut mendapati penunggang motosikal tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki dan patah tangan kiri, manakala pembonceng serta pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Naazron turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast