KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) diseru menggiatkan kerjasama program pengajian al-Quran braille dengan pelbagai pihak.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, inisiatif memperhebatkan program tersebut boleh dilakukan menerusi latihan guru-guru tahfiz braille, pembangunan bahan digital Islam mesra orang kurang upaya (OKU) penglibatan termasuk akses sokongan psikososial.
“Saya ingin mengajak kita semua untuk terus berazam bagi mengangkat program-program penghayatan agama Islam dalam kalangan komuniti OKU Muslim.
“Semoga majlis ini menjadi penyuntik inspirasi bahawa kemampuan seseorang tidak diukur melalui penglihatannya, tetapi melalui hatinya yang celik dengan nur ilahi,” katanya dalam ucapan Penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Braille (MTQB) Ke-8.
Ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Muhamad Razak Idris.

Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan kerjasama Yayasan Maghfirah di Hotel Ideas, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 DISEMBER 2025
Menurut Mohd Na’im, kerajaan melalui agensi agama sentiasa komited memastikan pendekatan dakwah dan pendidikan Islam bersifat inklusif, mesra OKU dan juga adil.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bersama Yayasan Maghfirah kerana menganjurkan program MTQB.
Ujarnya, program ini satu perjuangan dalam memartabatkan al-Quran dan memperkukuh peranan komuniti OKU penglihatan sebagai sebahagian daripada kekuatan umat Islam.
“Saya juga amat menghargai jasa para guru dan muallim yang telah berkorban masa jua tenaga dalam mendidik untuk membaca al-Quran,” tambah beliau.
Bertemakan ‘Al-Quran Menyuci Jiwa Menuju Jaya’, MTQB tahun ini disertai 47 peserta iaitu 12 lelaki dan 34 wanita dari seluruh negeri dan daripada pelbagai latar belakang.
MTQB dianjurkan untuk memberi ruang dan peluang kepada komuniti OKU penglihatan Muslim menonjol dan menyerlahkan keupayaan mempelajari dan membaca al-Quran, selain mencungkil bakat- bakat khususnya dalam bidang hafazan dan tilawah Al-Quran.- MalaysiaGazette
















