Reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis dan Jumaat ini.

Ahli Parlimen Muar itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.

Tarikh itu diperoleh hasil semakan pada laman web kehakiman.

Pihak pendakwaan memfailkan petisyen pada 22 September lalu dengan menggariskan 28 alasan mengapa Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Petisyen rayuan antara lain menyatakan, panel berkenaan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mengambil pendekatan yang salah ketika menilai keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam kes itu.

Pendakwaan berpendirian, Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila membuat tuduhan `liar’ bahawa pihaknya memberikan tekanan kepada seorang saksi dalam kes rasuah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ahli keluarga selepas Mahkamah Rayuan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman seleweng dana Armada di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

Pihak pendakwaan berpendirian, panel tiga hakim yang membebaskan Ahli Parlimen Muar itu terkhilaf menuduh SPRM menekan saksi pendakwaan ke-13 (Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali) supaya memberi keterangan yang `menyenangkan hati’ agensi itu dalam usaha menyesuaikan keterangannya di mahkamah.

Pihak pendakwaan selanjutnya menyatakan, Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membuat penilaian bahawa wang RM120,000 adalah milik Syed Saddiq, oleh yang demikian beliau tidak perlu memberikan justifikasi berkaitan pemindahan wang tersebut ke dalam akaun peribadinya.

Menurut petisyen itu, panel hakim juga gagal mengarahkan minda mereka dengan betul apabila membuat penilaian bahawa wang RM120,000 tidak digunakan untuk kempen, atas alasan wang dalam tangan berjumlah RM170,000 yang dianggap wang kutipan dana terlebih dahulu diguna untuk membiayai kempen.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.

Perbuatan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga disabitkan atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast