PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan semua janji dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 khususnya menambah baik infrastruktur dilaksanakan bermula Disember ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, mesyuarat penyelarasan untuk memantau pelaksanaan projek utama diadakan setiap bulan bermula Disember ini.
“Kita tetapkan supaya Disember ini juga ada mesyuarat penyelarasan memantau pelaksanaan.
“Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu, mesyuarat setiap bulan di peringkat Persekutuan dan negeri.
“(Usaha) ini menjadi contoh terbaik yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan kata-kata kita,” katanya berucap merasmikan penutupan program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang mencecah belasan bilion ringgit antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan.
“Pan Borneo di mana RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak itu akan diteruskan.
“Tahniah sudah beres dengan jayanya di Sarawak dan kita setuju untuk berikan laluan red line tambahan ke Sarawak dan ke Sabah.
“Nampak pertama kali sejak projek itu diluluskan 10 tahun lalu, ini kali pertama perjalanan pelaksanaannya jauh lebih teratur dan berkesan dan Insya-Allah mengikut jadual,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan memuji rakyat dan pengundi Sabah yang berjaya memilih wakil-wakil rakyat mereka secara aman dan damai pada 29 November lalu.
“Bayangkan Sabah dengan suku kaum berbeza, fahaman agama berbeza, berentap dalam pemilihan tegang, tetapi menjadi contoh kepada negara kita.
“Bagaimana segala perbezaan itu dapat dilerai dan ditenangkan dalam masa singkat selepas selesai Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
“Saya ucap tahniah kepada rakyat Sabah termasuk pimpinan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan kini mempunyai tanggungjawab untuk menyegerakan segala janji yang ditaburkan sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
“Ini berbeza, orang politik dan pimpinan politik berjanji sebelum ini sebelum pilihan raya dan meninggalkan janji itu.
“Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan, (kerana) di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















