KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga India yang dipercayai menyalahgunan Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk bekerja sebagai pemandu pelancong sejak seminggu lalu membawa padah apabila dia ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Jumaat.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kereta yang membawa pelancong di Kilometer 9, Jalan Klang–Banting.
“Hasil semakan mendapati kenderaan tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan, namun digunakan oleh suspek bagi tujuan membawa pelancong dengan menyalah guna LKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azrin, suspek mengaku menerima bayaran sebanyak RM80 bagi setiap perjalanan pergi dan balik sejak mula menjalankan aktiviti itu kira-kira seminggu lalu.
“JPJ memandang serius isu ini kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan pemandu warganegara Malaysia yang memiliki permit sah,” tegasnya.
Beliau berkata, kenderaan itu telah disita manakala, lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















