Dua individu maut selepas kenderaan utiliti sukan yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring pada petang 6 Disember 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pihak yang mengalihkan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kemalangan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Hulu Terengganu baru-baru ini agar tampil membantu siasatan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu kerana kawasan berkenaan telah ditutup dan dilengkapi langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Kalau didakwa (tanda amaran dan penghadang konkrit itu) dialihkan, penting untuk kita tahu siapa yang mengalihkan itu… KKR memang tidak mengalihkan (tanda amaran dan penghadang konkrit itu), langkah berjaga-jaga memang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan KKR yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan di lokasi kejadian sedang dijalankan mengikut tatakelola KKR namun pihaknya belum dapat memastikan pihak yang mengubah kedudukan penghadang keselamatan tersebut.

“Kita belum tahu lagi… kalau sesiapa tahu, bagitahu kepada kita,” katanya.

Jumaat lepas, sepasang bakal pengantin yang menaiki SUV dari arah Hulu Terengganu menuju ke Gua Musang maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan terhumban ke gaung sedalam 61 meter di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah).

Polis sebelum ini memaklumkan faktor kecuaian dipercayai menjadi punca insiden itu sementara pemeriksaan mendapati tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kejadian telah dialihkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast