KUALA LUMPUR – Rakan media disifatkan sebagai nadi penting dalam menyokong usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) khususnya dalam memperluas kefahaman masyarakat terhadap pembangunan ummah dan agenda kebajikan institusi itu.
Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, setiap laporan, liputan dan penganjuran dialog oleh media telah membantu menzahirkan komitmen MAIWP dalam menguruskan zakat, bantuan sosial serta pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, media bertindak sebagai jambatan komunikasi antara MAIWP dengan masyarakat, sekali gus memberikan pemahaman jelas mengenai hala tuju agensi berkenaan.
Mengulas mengenai sumber kutipan zakat, beliau berkata, MAIWP kini menerima zakat daripada dua kelompok penyumbang iaitu ‘old money’ dan ‘new money’.
“Golongan ‘old money’ merujuk kepada perniagaan tradisi dan saudagar lama khususnya di Pulau Pinang, manakala ‘new money’ pula merangkumi pemain industri baharu seperti pemilik pusat tuisyen, perniagaan telekomunikasi dan penggiat ekonomi digital termasuk cryptocurrency.
“Malah MAIWP juga telah meluluskan kutipan zakat melalui aset digital seperti bitcoin,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi MAIWP bersama media di Sunway Putra Hotel, di sini, hari ini.
Jelasnya, tanggungjawab utama MAIWP bukan sekadar mengutip zakat daripada kedua-dua kelompok tersebut, tetapi memastikan agihan tepat disalurkan kepada kelompok ‘no money’ atau mereka yang berada dalam kesempitan hidup.
Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman turut menekankan kejayaan Projek Bangkit yang menjadi antara program terpenting dalam agenda pembangunan asnaf.
“Komitmen peserta dan rakan strategik dalam menjayakan Projek Bangkit amat membanggakan dan membuktikan sinergi antara MAIWP, pihak industri dan media mampu membentuk masyarakat yang lebih makmur,” katanya.
Tambahnya, beliau merakam penghargaam kepada semua pihak yang hadir terutama rakan media atas laporan, input, analisis dan kerjasama profesional yang diberikan selama ini. – MalaysiaGazette
















