TAIPING – Dua lelaki cedera dalam insiden kemalangan pesawat ringan jenis Microlight yang terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, dekat sini semalam.
Difahamkan mangsa merupakan seorang pemandu yang berusia 46 tahun dan pelatih berusia 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 10.30 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan dan penilaian awal.
“Polis akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan bagi memastikan tindakan kawalan risiko dan keselamatan penduduk sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Nasir, masyarakat diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















