MELAKA – Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita di hadapan masjid, Oktober lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap, tertuduh, Jefri Joris, 46, selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun dengan cara menyentuh sebelah kiri payudara mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira 11.50 pagi berhampiran pintu gerbang Masjid Al-Abrar Semabok, dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Oktober 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, motosikal mangsa kehabisan minyak petrol sebelum dia meminta bantuan tertuduh untuk membeli petrol di kedai runcit berhampiran dan menyerahkan RM5 kepada tertuduh untuk tujuan itu.
Tertuduh kemudian kembali kepada mangsa bertanyakan tentang botol kosong untuk mengisi minyak namun secara tiba-tiba menyentuh bahagian kiri dada mangsa menyebabkan mangsa terkejut dan meminta wangnya dipulangkan.
Sebelum meninggalkan lokasi, tertuduh turut cuba mencabul mangsa sekali lagi dengan bertanya: “Boleh saya pegang dada awak lagi?” sebelum segera beredar dari kawasan tersebut.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa terus membuat laporan polis.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan tidak mengulangi kesalahan itu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman berjalan serentak kerana mengalami tekanan sehingga sudah bercerai dengan isterinya selain mempunyai empat orang anak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman lima bulan penjara dari tarikh ditangkap pada 16 Oktober lalu. – MalaysiaGazette















